Feeds:
Posts
Comments

KELEBIHAN ILMU

FADHILAT AL QURAN

HADITH 1: Mempelajari Al-Quran.
Hazrat Uthman r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”
(Riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah)

HADITH 2: Mengingati Allah dan Berdoa.
Hazrat Abu Said r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “ Allah swt berfirman, “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKu dan berdoa kepadaKu kerana sibuk dengan al-Quran maka Aku mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaKu”. Ketinggian perkataan Allah swt ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah swt ke atas segala makhluk ciptaanNya.”
(Riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi)

HADITH 3: Pergi ke Masjid dan Mengajar.
Hazrat Uqbah bin Amir r.a berkata, “Rasulullah s.a.w datang kepada kami ketika kami sedang duduk di atas suffah dan bertanya, “Siapakah di antara kamu yang suka pergi ke pasar Buthan atau Aqiq setiap hari dan membawa pulang dua ekor unta betina daripada jenis yang terbaik tanpa melakukan satu dosa pun atau memutuskan silaturrahim?” Kami menjawab, “Setiap orang daripada kami akan menyukainya.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Apabila seseorang pergi ke masjid dan mengajar atau membaca dua potong ayat daripada al-Quran adalah lebih baik baginya daripada dua ekor unta betina, tiga ayat adalah lebih baik baginya daripada tiga ekor unta betina dan begitu juga empat potong ayat adalah lebih baik baginya daripada empat ekor unta betina mengikut bilangan ayat-ayat yang sama dengan bilangan unta jantan.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud)

HADITH 4: Membaca Al-Quran
Hazrat Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan berada bersama malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran.”
(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah)

HADITH 5: Hasad
Hazrat Abdullah Bin Umar radiAllahuanhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang. Seseorang yang Allah swt telah merahmatinya dengan pembacaan al-Quran maka dia berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu (di jalan Allah swt) siang dan malam.”
(Riwayat Bukhari, Tirmizi & Nasa’i)

HADITH 6: Mukmin yang Membaca Al-Quran
Hazrat Abu Musa r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau manis, berbau sedap dan rasa limau itu manis. Perumpamaan seseorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun tidak mempunyai bau namun berasa manis. Perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca alQuran adalah umpama buah peria pahit. Buah ini tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran adalah seperti bunga ‘raihanah’, berbau harum tetapi berasa pahit.”
(Riwayat Bukhari, Muslim, Nasa’I & Ibnu Majah)

HADITH 7: Orang Mulia dengan Kitab Al-Quran
Hazrat Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah swt memuliakan ramai orang melalui kitab ini (al-Quran) dan menghina ramai orang dengannya.”
(Riwayat Muslim)

HADITH 8: Al-Quran, Amanah dan Silaturrahim.
Hazrat Abdul Rahman bin Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga perkara akan berada di bawah naungan Arasy Allah swt pada hari kiamat. Pertama, al-Quran. Al-Quran akan berhujah dengan manusia dan al-Quran ini mempunyai zahir dan batin. Kedua, amanah. Ketiga, tali persaudaraan (silahturrahim) yang akan mengisytiharkan, “Ketahuilah, sesiapa yang menghubungkan aku maka Allah swt akan menghubungkannya (dengan rahmatNya), sesiapa yang memutuskan aku maka Allah swt akan memutuskannya (daripada rahmatNya).”
(Diriwayat dalam Kitab Sharhussunnah)

HADITH 9: Baca Al-Quran dengan Tartil.
Hazrat Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Pada hari pengadilan kelak akan dikatakan kepada orang al-Quran, ‘Bacalah al-Quran dengan tartil sebagaimana kamu telah membacanya di dunia dan naiklah (darjat demi darjat di dalam syurga). Sesungguhnya tempat (kedudukan) kamu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca.”
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah & Ibnu Hibban)

HADITH 10: Membaca Al-Quran.
Hazrat Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif,lam,mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”
(Riwayat Tirmizi)

HADITH 11: Membaca dan Beramal dengan Al-Quran.
Hazrat Mu’az al-Johani r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung dalamnya maka kedua-dua ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkanlah bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan al-Quran?.”
(Riwayat Ahmad & Abu Daud)

HADITH 12: Mukjizat Al-Quran.
Hazrat Uqbah bin Amir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika al-Quran itu dimasukkan ke dalam kulit dan kemudian dicampakkan ke dalam api nescaya kulit itu tidak akan terbakar.”
(Riwayat Darimi)

HADITH 13: Fadhillat Al-Quran.

Hazrat Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca al-Quran lalu menghafalnya dan meghalalkan apa-apa yang halal dalamnya dan mengharamkan apa-apa yang haram dalamnya akan dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah swt dan Allah swt akan menerima syafaatnya yang diberi kepada sepuluh orang ahli rumahnya yang kesemua mereka telah wajib memasuki neraka.”
(Riwayat Tirmizi & Ahmad)

HADITH 14: Membaca Al-Quran dalam Tahajjud.
Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Belajarlah dan bacalah al-Quran kerana sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang menpelajari al-Quran kemudian membaca dan terus membaca al-Quran dalam solat tahajud adalah seumpama satu bekas yang penuh dengan kasturi. Bau kasturi yang wangi ini merebak ke setiap penjuru tempat. Sementara seseorang yang belajar al-Quran kemudian tidur, sedangkan al-Quran berada dalam hatinya adalah seumpama bekas yang penuh dengan kasturi tetapi mulut bekas itu tertutup.”
(Riwayat Tirmizi, Nasa’I, Ibnu Majah & Ibnu Hibban)

HADITH 15: Hati yang Kosong dari Al-Quran.
Hazrat Abdullah bin Abbas r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Seseorang yang tidak ada sebahagian pun alQuran dalam hatinya adalah seumpama rumah yang telah ditinggalkan kosong.”
(Riwayat Tirmizi, Darimi & Hakim)

HADITH 16: Membaca Al-Quran dalam Solah.
Hazrat ‘Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Membaca al-Quran dalam solah adalah lebih afdal daripada membaca al-Quran di luar solah. Membaca alQuran di luar solah lebih afdal daripada tasbih dan takbir (memuji Allah swt). Tasbih adalah lebih afdal daripada sedekah, sedekah adalah lebih afdal daripada puasa dan puasa adalah penghalang daripada api neraka.”
(Riwayat Baihaqi)

HADITH 17: Tiga Ayat dalam Solah.
Hazrat Abu Hurairah berkata, “Rasulullah s.a.w bertanya kepada kami, ‘Apabila salah seorang daripada kamu kembali ke rumah, adakah kamu suka jika mendapat tiga ekor unta betina yang bunting dan besar serta gemuk?’ Kami pun menjawab, ‘Ya’. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, “ Tiga ayat yang kamu baca dalam solah adalah lebih baik daripada unta betina yang bunting dan besar serta gemuk.”
(Riwayat Muslim)

HADITH 18:  Membaca Al-Quran dengan Melihat Mashaf.
Hazrat Uthman bin Abdullah bin Aus Thaqafi r.a meriwayatkan daripada datuknya bahawa Rasulullah s.a.w besabda, “ Membaca al-Quran tanpa mashaf (yakni bacaan melalui ingatan) mendapat seribu darjat pahala dan membaca alQuran dengan melihat mashaf menggandakan pahala sehingga dua ribu darjat.”
(Riwayat Baihaqi)

HADITH 19: Mengingati Mati dan Membaca Al-Quran.
Hazrat Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w besabda, “ Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sebagaimana besi berkarat apabila terkena air”. Baginda ditanya, “Ya Rasulullah, apakah penggilapnya?” Rasulullah s.a.w bersabda, “Banyak ingatkan maut dan membaca al-Quran.”
(Riwayat Baihaqi)

HADITH 20: Kemuliaan Umat Muhammad.
Hazrat ‘Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya setiap sesuatu ada kemuliaan yang manusia berbangga dengan kemuliaan itu. Sesungguhnya kebanggaan dan kemuliaan umatku ialah al-Quran.”
(Dipetik dari kitab al-Hilyah)

HADITH 21: Bertaqwa.
Hazrat Abu Zar r.a meriwayatkan “Aku telah berkata, wahai Rasulullah, nasihatkanlah saya”. Rasulullah s.a.w bersabda, “Bertakwalah kepada Allah swt kerana takwa adalah asas bagi segala amalan”. Aku berkata lagi, “Tambahkan untuk saya”. Baginda s.a.w pun bersabda, “Ambil beratlah untuk membaca al-Quran kerana al-Quran adalah nur untuk kamu di dunia ini dan bekalan untukmu di langit (pada hari kiamat).”
(Riwayat Ibnu Hibban)

HADITH 22: Turun Sakinah dengan Membaca Al-Quran.
Daripada Hazrat Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah berkumpul orang di dalam salah satu rumah-rumah Allah swt (masjid), membaca al-quran dan membaca seorang daripada mereka kepada yang lain melainkan diturunkan ‘sakinah’ ke atas mereka. Rahmat meliputi mereka, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah swt menyebutmenyebut mereka di kalangan malaikat yang berada di sisiNya.”
(Riwayat Muslim & Abu Daud)

HADITH 23: Hampir Kepada Allah.
Hazrat Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak ada suatu perkara pun yang dapat mengembalikan (menghampirkan kamu) kepada Allah swt lebih afdal daripada perkara yang telah keluar dariNya sendiri yakni al-Quran.”
(Riwayat Hakim disahihkan oleh Abu Daud & Tirmizi daripada Abu Umamah)

HADITH 24: Orang Al-Quran ialah Ahli Allah yang Istimewa.
Hazrat Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah swt mempunyai ahli-ahli dari kalangan manusia”. Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab, “Orang al-Quran adalah ahli-ahli Allah swt dan orang Allah swt yang istimewa.”
(Riwayat Nasa’I, Ibnu Majah, al-Hakim & Ahmad)

HADITH 25: Nabi yang Membaca Al-Quran dengan Suara Merdu.
Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah swt tidak pernah memberi perhatian terhadap sesuatu sebagaimana Dia memberi perhatian kepada seorang nabi yang membaca al-Quran dengan suara lunak merdu.”
(Riwayat Bukhari)

HADITH 26: Perhatian Allah kepada Pembaca Al-Quran.
Hazrat Fudalah bin Ubaid r.a meriwayatkan Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya perhatian Allah swt kepada pembaca al-Quran lebih daripada perhatian seorang tuan yang mendengar hamba perempuannya menyanyi.”
(Riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Hakim)

HADITH 27: Baca Al-Quran Sebagaimana Hak Pembacanya.
Hazrat ‘Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai ahli-ahli al-Quran, jangan kamu membantalkan alQuran. Hendaklah kamu membaca al-Quran sebagaimana hak pembacaannya, siang dan malam. Sebarkanlah kitab suci itu, bacalah kitab suci itu dengan suara yang merdu dan renungkanlah kandungan-kandungan kitab suci itu. Dengan ini kamu akan mendapat kejayaan. Janganlah kamu menggunakan al-Quran untuk mendapatkan ganjaran yang serta merta (dalam dunia ini) kerana alQuran mempunyai ganjaran yang besar (pada hari akhirat).”
(Riwayat Baihaqi)

HADITH 28: Mukjizat Al-Quran.
Hazrat Wathilah bin al-Asqa r.a meriwayatkan Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku telah diberi ‘Sab’a’ sebagai ganti Taurat, ‘Mi’in’ sebagai ganti Zabur, ‘Mathani’ sebagai ganti Injil, dan aku telah dilebihkan dengan ‘Mufassal’.”
(Riwayat Ahmad dan al Kabir)

Sab’a Mi’in Mathani Mufassal = tujuh surah pertama (tujuh surah terpanjang) = sebelas surah berikutnya (surah yang mengandungi seratus ayat) = dua puluh surah berikutnya (surah-surah yang berulang-ulang) = surah selebihnya (yang dijelaskan)

HADITH 29: Orang Miskin Mendahului Masuk Surga dengan 500 tahun.
Hazrat Abu Sa’id al Khudri r.a meriwayatkan , “Pada suatu ketika saya duduk bersama-sama satu kumpulan orang Muhajirin yang miskin. Sebahagian dari mereka berselindung di sebalik yang lain kerana tidak mampu menutup badan dengan sempurna. Seorang qari sedang membaca al-Quran kepada kami. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w datang dan berdiri hampir dengan kami. Apabila Nabi s.a.w sedang berdiri berhampiran kami maka qari itu memberhentikan bacaan. Baginda s.a.w memberi salam kepada kami dan bertanya, “Apakah yang sedang kamu lakukan?” Kami menjawab, “Kami sedang mendengar al-Quran”. Rasulullah s.a.w bersabda, “Segala puji bagi Allah swt yang telah menciptakan di kalangan umatku orang yang daku pun diperintahkan bersabar duduk bersama mereka”. Hazrat Abu Sa’id r.a berkata lagi, “Rasulullah s.a.w duduk ditengah-tengah kami supaya Baginda s.a.w berada sama jarak dengan kami. Kemudian Baginda s.a.w memanggil kami dengan insyarat tangan lalu para sahabat pun duduk mengelilingi Baginda s.a.w , wajah-wajah mereka menghadap ke arahnya. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda,“ Wahai kamu orang Muhajirin yang miskin, bergembiralah dengan nur yang sempurna pada hari kiamat , kamu akan memasuki syurga terlebih dahulu daripada orang kaya dengan perbezaan setengah hari dan setengah hari itu adalah bersamaan dengan lima ratus tahun.”

(Riwayat Abu Daud)

HADITH 30: Fadhillat Membaca Al-Quran.
Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada al-Quran, akan dituliskan untuknya kebaikan yang digandakan dan sesiapa membaca satu ayat, bacaannya itu akan menjadi nur untuknya pada hari kiamat.”
(Riwayat Ahmad)

HADITH 31: Membaca Al-Quran dengan Bersuara dan Senyap.
Hazrat Uqbah bin Amir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Seseorang yang membaca al-Quran dengan bersuara adalah seumpama seorang yang memberi sedekah secara terang-terangan dan seseorang yang membaca al-Quran secara senyap adalah seumpama seorang yang memberi sedekah secara sembunyi.”
(Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa’I dan Hakim)

HADITH 32: Al-Quran Sebagai Syafaat.
Hazrat Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Al-Quran adalah pemberi syafaat yang syafaatnya diterima sebagai pembela yang pembelaannya dibenarkan. Sesiapa yang meletakkan al-Quran di hadapan, al-Quran akan membawanya ke syurga, sesiapa meletakkan alQuran di belakang maka al-Quran akan mencampakkannya ke dalam neraka.”
(Riwayat Ibnu Hibban dan Hakim)

HADITH 33: Berpuasa sebagai Syafaat.
Hazrat Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa dan al-Quran akan meminta syafaat untuk seseorang. Puasa akan memohon, ‘Ya Allah, aku telah menghalangnya daripada makan dan minum pada siang hari maka Engkau terimalah syafaatku ini untuknya’. AlQuran pula berkata, ‘Ya Allah, aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam maka terimalah syafaatku untuknya’. Kedua-dua syafaat itu akan diterima.”
(Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Dunia, Tbarani dan Hakim)

HADITH 34: Al-Quran sebagai Pemberi Syafaat yang Lebih Tinggi.
Hazrat Sa’id bin Sulaim r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Pada hari kiamat, tidak ada pemberi syafaat lebih tinggi di sisi Allah swt melainkan al-Quran, bukan nabi bukan juga malaikat dan lain-lain.”
(Riwayat Abdul Malik bin Habib demikian dalam syarah Ihya’ Ulumuddin)

HADITH 35: Kelebihan Membaca Al-Quran.
Hazrat Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca al-Quran maka dia menyimpan pengetahuan kenabian di dalam dadanya, cuma tidak diturunkan wahyu kepadanya. Adalah tidak wajar bagi seseorang yang mempunyai (ilmu) al-Quran memarahi orang pemarah dan tidak patut dia bertindak jahil terhadap orang jahil sedangkan al-Quran berada dalam dadanya.”
(Riwayat Hakim dengan sanad yang sahih)

HADITH 36: Pembaca Al-Quran Selamt Dari Ketakutan di Akhirat.
Hazrat Abdullah bin Umar r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiga macam orang yang tidak ada ketakutan pada hari kiamat yang penuh dengan huru-hara dan mereka tidak akan dihisab. Mereka berada di atas timbunan-timbunan kasturi sehinggalah kesemua manusia telah habis dihisab. Pertama, seseorang yang mempelajari al-Quran sematamata kerana Allah swt dan kemudian mengimani orang ramai dalam solah sedangkan mereka menyukainya. Kedua ialah orang yang mengajak oarang lain kepada solah semata-mata kerana Allah swt. Ketiga ialah orang yang berlaku baik antara dirinya dengan tuannya, juga antara dirinya dengan orang bawahannya”
(Riwayat Tabarani)

HADITH 37: Mempelajari Satu Ayat daripada Al-Quran.
Hazrat Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai Abu Zar, sesungguhnya pemergianmu pada waktu pagi dan mempelajari satu ayat daripada kitab Allah swt lebih baik bagimu daripada mengerjakan solah sunat seratus rakaat. Pemergiaanmu pada waktu pagi dan mempelajari satu bab daripada ilmu yang (berpeluang) diamalkan atau tidak (berpeluang) diamalkan adalah lebih baik daripada kamu mengerjakan seribu rakaat solah sunat.”
(Riwayat Ibnu Majah)

HADITH 38: Membaca 10 Ayat daripada Al-Quran Pada Satu Malam.
Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca sepuluh ayat (daripada al-Quran) pada satu malam maka dia tidak akan dikira di kalangan orang yang lalai (daripada mengingati Allah swt).”
(Riwayat Hakim)

HADITH 39: Menjaga Solah Fardu.
Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang menjaga solah-solah fardu tidak akan dimasukkan di kalangan orang yang lalai. Sesiapa membaca seratus ayat dalam satu malam akan dikira di kalangan ‘qanitin ‘(orang yang taat).”
(Riwayat Hakim)

HADITH 40: Kitab Allah Sebagai Jalan Keluar Daripada Huru-Hara.
Hazrat Abdullah bin Abbas r.anhuma meriwayatkan, “Hazrat Jibril telah turun dan memberitahu Rasulullah s.a.w bahawa banyak fitnah (huru hara) akan pasti berlaku. Rasulullah s.a.w bertanya, “apakah jalan keluar daripada keadaan itu, wahai Jibril?” Jibril a.s menjawab, “Kitab Allah swt.”
(Riwayat Ruzain)

PERINGATAN
Setiap hadith yang didatangkan, mempunyai huraian dan keterangan yang jelas mengikut kehendak hadith. Keterangan ini boleh didapati di dalam kitab asal hadith-hadith ini dipetik.

Sekolah pengajian kaedah pondok ini telah ditubuhkan di Surau Taman Sri Haneco, Semenyih, Selangor.  Sekolah  ini mendaftarkan pelajar pelajar lelaki berumur 12 tahun ke 19 tahun bagi yang berminat untuk mempelajar fardhu ain dan pelajaran agama Islam secara bersistematik dan terancang dibawah bimbingan guru yang bertauliah. Pengajian al-Quran ini adalah sepenuh masa. Pengajian SPM akan diadakan setelah tamat hafazan 30 juzuk bagi yang ingin mendapatkan pelajaran Menengah.

20140211_15201820140211_151954 (1)

TERBUKA KEPADA SEMUA. DIJEMPUT HADIR

Anda semua dijemput untuk menjadi pelajar dengan sedikit yuran untuk keperluan pelajar dan pengajaran. Yuran Pengajian dan tempat tinggal bagi pelajar lelaki ialah RM 200.  Bayaran pendaftaran ialah RM250

TEL: 03-8723 0709, 019-5649016  017-3103600 (Us Hafifi)  

Salam Perkenalan

Alhamdulillah, Segala kebesaran bagi Allah s.w.t. yang mentadbir sekalian alam ini. Dengan berkat dan inayatNya, pihak pengurusan surau Haneco bersama Us Fauzi, telah menubuhkan Sekolah Pondok di  surau Haneco yang berpusat di Taman Seri Haneco, Semenyih, Selangor. (3 km dari bandar Semenyih)

Tujuan penubuhan pondok ini ialah untuk menyemarakkan lagi pengajian Islam agar dapat meninggikan martabat Islam di mata dunia. Ia bermula dengan diri kita dan keluarga kita sendiri. Seperti mana kita ketahui, menuntut ilmu itu wajib bagi setiap mukallaf, maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjadikan institusi pengajian Islam ini makmur, seperti mana kita dikehendaki memakmurkan masjid itu sendiri.

Mengambil semangat dan kecintaan terhadap ilmu inilah pihak pengurusan Pondok ini telah ditubuhkan dalam keadaan seadanya, tanpa berlebih-lebihan dan mengambil kira kemudahan yang ada sekadar yang terbaik dan termampu dilaksanakan. Kami mengharap sokongan anda semua dan seluruh isi masyarakat untuk berganding bahu memberikan pelbagai bentuk sokongan. Sokongan yang terbaik ialah menghantar anak-anak atau keluarga anda sendiri di sini untuk memanfaatkan kemudahan yang ada dan mendapatkan sebanyak ilmu yang diajar di sini.

Hubungilah pihak pengurusan pondok ini untuk mendapatkan keterangan lanjut dan sertailah kami untuk membina  generasi Al-Quran dan generasi berilmu bagi memenuhi tuntutan masyarakat sekarang. Wassalam.

Us Hafifi 017-3103600

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.